Blog Baru


Assalamualaikum wbt..

Blog ini akan ditamatkan di sini saja. Mohon sahabat-sahabat ke blog baru saya, http://sungai-syurga.blogspot.com/

Terima kasih.

Posted in | 0 comments

Review Maharaja Lawak

Salam.


Rata-rata dari kita sedang gilakan Maharaja Lawak. Saya baru betul-betul tengok satu lawak dari mereka. Pada mulanya saya bergelak sakan juga. Tapi lama-lama saya tak jadi gelak. Bukan nak burukkan mereka, tapi sama-sama kita fikir sebagai seorang Muslim. Bukankah gelak ketawa itu mematikan hati? Bukankah kita sedar bahawa kematian menghampiri kita dari hari ke hari, tapi kita masih ketawa sampai lupakan mati.


Ibu saya salah seorang yang pantang tengok benda-benda lawak. Katanya banyak ketawa, maka tambahlah titik-titik hitam dalam hati. Selain itu kita juga membuang masa. Berapa ramai yang buang masa untuk gelak ketawa sedangkan ibadat diabaikan? Mungkin cukup sekadar sikit-sikit saja, tapi seandainya masa sejam, dua jam dihabiskan untuk gelak ketawa, mari muhasabah diri.


Saya sebenarnya terkilan dan sedikit kecewa, kenapa tokoh-tokoh ilmu dipermainkan, disindir. Lawak-lawak tersebut juga memasukkan unsur-unsur keagamaan untuk dijadikan bahan ketawa. 


Cuba renung dan fikir balik. Adakah lawak-lawak ini lawak yang berilmu atau sebaliknya? Wallahualam. 



Posted in | 5 comments

Satu langkah lagi ke depan

Assalamualaikum wbt


Akhirnya sudah kehidupan aku sebagai pelajar di universiti. Ya, walaupun masih tak grad, tapi sekarang aku sudah praktikal dan menghadapi alam bekerja di ofis. Alhandulillah. Segalanya berjalan dengan baik.


Perlu bersedia dari segi fizikal dan mental. Agak penat bagi minggu pertama, banyak perkara yang perlu aku berebut dengan orang. Pagi-pagi dah berebut untuk parking. Jika bukan parking, kena kejar bus dan juga LRT. Penat! Masuk kerja pukul 9 pagi, dalam 7.45 am dah kena keluar. Balik kadang-kadang pukul 6-7 petang.


Aku terbayangkan, penatnya ibu bapa bekerja. Mesti lagi penat dari aku sebab aku di sini kerja bukannya banyak sangat pun. Sikit saja! Tapi setakat ni, alhamdulillah. Banyak perkara yang aku belajar.


Masa ni lah aku nak buka balik tengok email-email universiti. Tengok macam mana aturan bahasa Inggerisnya. Fuh. Dapat pula boss-boss yang oversea-oversea belaka. Banyak perlu aku jaga. Cara greeting. Oh, tapi setakat ni macam aku terpaksa bersalaman dengan mereka. Ya, itu salah.. Tapi macam terpaksa. 


Membebel saja post kali ini. Tiada motif. Cuma update sikit supaya tak rasa blog ini sudah dikuburkan. 


Wallahualam

Posted in | 6 comments



Salam

Ah.. Hilang minat terhadap menulis blog

Mampu ke aku menulis blog ni kawan-kawan?

Posted in | 3 comments

Perniagaan yang Diberkati

Perniagaan yang diberkati

Tidak dinafikan ramai dari kita memilih perniagaan sebagai salah satu langkah untuk mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan. Islam sendiri menggalakkan ummatnya berniaga sehingga terdapat satu hadis yang lebih kurang maksudnya, “Rasulullah saw pernah di tanya pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda menjawab pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tanggungjawab sendiri dan semua perjualbelian yang di anggap baik [Hadis Riwayat Ahmad dan Baihaqi]”

Perniagaan yang berjaya adalah perniagaan yang diiringi keberkatan Allah SWT. Mengambil kira perkara-perkara yang dianggap kecil akan memberi impak yang sangat besar kepada perniagaan tersebut.

 Ramai yang bertanggapan bahawa untuk mendapatkan untungan yang sebanyak mungkin perlu menjalankan perniagaan 24 jam tanpa berhenti sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain.


Tidak mengabaikan tanggungjawab lain

Setuju atau tidak, ramai para peniaga tidak ambil berat tentang hal ehwal solat pekerja mereka? Kita dapat lihat dengan lebih ketara apabila tibanya hari Jumaat.

Ketika azan solat Jumaat berkumandang, masih terdapat segelintir pekerja-pekerja lelaki terutamanya di restoran yang masih giat mengambil tempahan makanan pelanggan.

Allah SWT berfirman dalam surah Jumu’ah ayat ke 9 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Menjadi kewajipan kepada kita untuk menunaikan solat kerana sesungguhnya, tanggungjawab paling besar kita sebagai seorang hamba ialah mentaati perintah Allah SWT.

Mengambil masa sekurang-kurangnya sejam untuk solat jumaat dan sekurang-kurangnya 15 minit untuk setiap solat fardu yang lain pasti tidak akan menganggu perniagaan kita sebaliknya akan memberi keberkatan dan ketenangan.

Perlu diingat, rezeki yang kita dapat adalah kurniaan dan nikmat dari Yang Maha Pemurah. Jangan jadikan nikmat-nikmat ini menutup pintu hati kita untuk berterima kasih dan bersyukur pada-Nya.

Ayuh semua. Lebihkan akhirat dari dunia dan seimbangkan usaha dan doa. Setiap langkah itu ibadat. Setiap perkara pasti akan diambil kira oleh Allah di hari akhirat kelak. Sayangilah Allah, apabila kita mengasihi Allah, Allah pasti mengasihi kita.

Tips perniagaan yang berjaya dan diberkati:
  • Sentiasa mentaati Allah SWT dan RasulNYA
  • Pastikan semua kakitangan menunaikan solat dan tutup aurat
  • Mengadakan sesi tazkirah sekurang-kurangnya 10 minit sebelum perniagaan bermula
  • Jujur dalam perniagaan
  • Jaga adab-adab pergaulan
  • Mengamalkan solat Dhuha dan banyakkan solat tahajud
  • Memperbanyakkan bersedekah
  • Membaca surah Waqiah setiap malam. Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah setiap malam, dia tidak akan mengalami kemiskinan.” HR: Baihaqi dari Ibnu Masud ra.
  • Mendoakan pelanggan kita dan ucapkan terima kasih kepada mereka
  • Menjaga kebersihan
  •  
“Subhanallah, Alhamdulillah, Wa Lailahaillah Allahuakbar”

Posted in | 1 comments

Broga Hills

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah.. Semuanya berjalan dengan baik. Dah lama aku kuburkan blog ini, macam-macam peristiwa yang berlaku. Peristiwa yang mengembirakan, memenatkan dan juga menyedihkan.. Anggap saja semua ini sebagai satu ujian dan pengalaman. Aku hanya mampu menghadapinya dengan penuh sabar dan syukur.

15 Feb 2011. Jatuh pada hari Maulidur Rasul. Ada peristiwa yang aku tak sangka akan terjadi. Tapi terjadi jua.. Takpe. Hadapi semua ni dengan sabar.

15 Feb 2011 juga aku bersama sahabat-sahabat seramai 15 orang mendaki Broga Hills. Seronok dan puas hati. Aku bayangkan.. Bagaimana Rasulullah saw, sahabat-sahabat baginda dan para pahlawan-pahlawan Islam pada zaman dulu mendaki gunung untuk tujuan beribadat dan peperangan.. Mesti lagi penat. Tapi mereka mampu melakukannya.

Kami bertolak dari rumah seawal 5 pagi dan sampai ke masjid berdekatan dengan Brogra masa tengah azan subuh. Kali pertama aku tengok ramai golongan muda solat subuh di masjid ramai-ramai. Hehe. Alhamdulillah.

Semput punyalah semput, sampai kami fikir "apalah aktiviti yang kita buat ni... sangat memenatkan!"

Macam-macam mengeluh. Akhirnya sampai ke puncak, ALHAMDULILLAH diucapkan. Paling seronok dapat call mak kat Bangkok, "Mak! saya atas puncak gunung... itu saja." - Mak hairan sat.


Puas hati. Alhamdulillah. Dapat rapatkan hubungan dengan sahabat-sahabat.. 

Bila dah final sem, macam-macam perasaan datang. Sedih ada, gembira juga ada.. 

Moga-moga kenangan ini akan jadi kenangan indah sebagai seorang pelajar. Wallahualam. 


Posted in | 0 comments

Phad Thai [masakan Thai]





Assalamualaikum wbt

Hari ni tolong mak masak Phad Thai. Phad Thai kena masak untuk makan bersama family. Tak berbaloi kalau makan sorang2 sbb bahan-bahannya agak banyak. Tapi berbaloi makan ramai2 sebab sedap =))

Bahan-bahanya:
1. Bawang merah 9-10 ulas - dimayang

2. Tau-hu 2 keping besar - dipotong kecik2 panjang2

3. udang - buang kulit dan kepala. belah belakang utk keluarkan najisnya

4. lobak jeruk (tak thu bm panggil apa) - potong kecik2 juga

5. gula kabung/ gula melaka

6. udang kering

7. asam limau nipis

8. asam jawa

9. kacang yg hancur2 tu. hauhau

10. daun kucai

11. Touge

12. Sos tiram

13. kuey teaw phad thai (kat giant ada.  kuey teaw tu lebih kurang macam kuey teaw besar    biasa kat kedai tp kecik dan keras dan tak basah macam kuey teaw) - rendam air

14. Telur ayam 3 biji 

15. Tau-chu

16. Nam-pla

Waah..

Cara-caranya:

1st Step:
- Tumis bawang merah sehingga naik bau

- Masukkan tou-hu dan lobak jeruk yang dipotong halus tadi

- Bila dah masak, angkat dan masukkan dalam bekas lain


2nd Step:
- goreng udang bersama sos tiram sehingga masak

- angkat dan buh dalam bekas lain.


3rd step:
- cairkan gula kabung dan asam jawa.
- masukkan tau-chu dan nam-pla


4th step:
- goreng kuey teaw yg direndam tu. 

- masukkan 3rd step - ikut rasa sendiri. akan rasa masam dan manis

- masukkan 1st step dan 2nd step

- goreng2~

- pastu masukkan kucai dan touge

- angkat

- tambah kacang yg hancur2 tu. 

- kalau nak pedas buh cili kering bland

Posted in | 6 comments

Suang Luang Rama 9

Assalamualaikum wbt

Salam dari Bangkok buat semua. Apa khabar sahabat-sahabat ku? Harap semuanya sihat sejahtera disamping keluarga yang tersayang. Ya, aku dah sampai di Bangkok. Insya Allah akan bercuti selama sebulan. Ini kali terakhir aku cuti lama-lama di rumah (mengikut plan aku saja. Allah jua yang menentukannya) sebab nanti akan melangkah ke alam kerja dan seterus, Insya Allah.

Semalam aku bersama adik-adik, mak sudara, ayah saudara dan sepupu pergi jalan-jalan ke taman Suang Luang Rama 9. Tak jauh dari rumah ku. Masa sekolah rendah dulu, aku, adik dan papa akan ke taman tersebut lepas subuh untuk jogging sebelum pergi sekolah. Sini sekolah agak lewat. Pukul 8.30 pagi baru jam bunyi. Jadi adalah masa pergi jogging duu sebelum ke sekolah. 















Kat sana ada pameran dan jualan sempena hari keputraan raja (betul ke ayat?). Tarikh lahir raja Thai adalah 5 hb December. Jadi biasanya bulan ni agak meriah. Yang best sebab ada bunga-bunga cantik. Tapi aku tak ambil gambar sangat maklumla malas dan rasa nak makan je =)

Maklumlah Thailand Muslim adalah minoriti. Tapi sekarang ramai lah sangat. Ke mana-mana mesti tengok orang pakai tudung, alhamdulillah. Yang paling seronok bila jalan-jalan nampak orang pakai tudung tapi tak kenal, kita saling bagi salam (berdoa) alahai.. Bahagianya hidup! Tak kenal, tapi kerana Allah swt dan Rasulullah saw kita saling mendoakan. Semoga Allah rahmati mereka semua. Tidak kurang juga dengan senyuman manis yang disedekahkan untuk saudara sesama Islam!

Itu saja. Aku akan duduk kat sini sampai mungkin 10hb Januari 2011. Wah, cepat betul masa berlalu. Siapa-siapa nak datang dipersilakan. Tapi tak boleh datang antara 22-30hb December sebab keluarga aku kat kelantan akan datang.


Semoga sahabat-sahabat sekalian diberkati dan gembira selalu. Sayangilah Islam, insya Allah hidup bahagia walaupun ada masalah! =))

Posted in | 1 comments

Alah.. Kau tak sporting lah!

Assalamualaikum wbt

Perkara yang sia-sia telah jadi perkara biasa dalam hidup. Sehingga jika kita tak sokong, kita akan dicop sebagai orang "yang tak supporting."

Anda cuba membuat orang ketawa dengan cara menjadikan diri bodoh, atau buat-buat bodoh sehingga anda tidak fikir maruah anda sebagai seorang Muslim dan tetapkan diri anda dengan "Aku tak kisah. Asalkan aku bahagia, lantak lah orang nak kata apa dan aku memang cool!" - Mencari publisiti murahan, itu bukan Islam namanya. Gembirakah anda bila orang melempar kata-kata "bodohlah dia ni..." banyak kali? Sedar tidak sedar, kata-kata orang itu lah jadi doa sebenarnya.

Terlalu banyak benda yang kita boleh lakukan, untuk kebaikan diri dan masyarakat dan bukannya membodoh diri sendiri. Hanya mahu atau tidak, tepuk dada tanya iman.

Kurangkan perkara sia-sia dalam hidup kita. Penuhkan al-Quran, zikrullah dan ilmu dalam hati supaya kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang bodoh. 

Ingatlah, malu itu sebahagian dari iman. Kata Rasulullah saw, "Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah apa yang kamu suka." HR: Bukhari

Wallahualam. 


Posted in | 2 comments

Akhlak remaja

Assalamualaikum wbt

Apa khabar sahabat-sahabat? Harap semuanya sihat sentiasa, insya Allah. Dua-tiga hari lepas, aku tengok dua video yang berkaitan dengan remaja dalam masyarakat. Aku jadi risau, takut. Macam-macam aku fikir. Ini bukan tujuan untuk mengaibkan mereka. Tapi lihatlah sejauh mana keruntuhan akhlak yang semakin menjadi-jadi pada hari ini?

http://www.youtube.com/watch?v=G_rNe7unYE8 - Romantika di Kuala Lumpur

Jemputlah tengok dan renung-renungkan

Aku risau sebab aku perempuan. Aku terfikir, macam mana aku nak bersedia menghadapi semua ini lebih-lebih lagi bila aku jadi seorang ibu. Sahabat aku, Syuk kata kita focus sahaja dengan keluarga masing-masing. Ya, itu salah satu caranya. Tapi bagaimana pula dengan mereka yang keluarganya tak ambil kisah?

Kita selalu focus pada cara bagaimana menyelesaikan masalah, bukan menyekat masalah. Hari Selasa yang lepas, aku ada peluang cakap dengan ayah kawan. Kami berbincang mengenai keruntuhan akhlak dalam masyarakat hari ini, katanya mengikut kajian (tak pasti pula kajian mana) keruntuhan akhlak bermula dari pemakanan.

Banyak al-Quran dan Hadis yang berbincang tentang makanan halal dan haram. Antaranya ialah:

“Wahai sekalian manusia, Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” Surah Baqarah: 168
Akhir-akhir ini banyak berita-berita yang menggempar isu-isu makanan tidak halal. Banyak juga kedai-kedai dan hotel-hotel yang tak dapat halal dari JAKIM. Tapi sejauh mana kita mengambil langkah berhati-hati? Persoalannya, kita meletakkan "halal" itu pada tangga ke berapa? Pertama atau yang ke 389?
Makanan haram itu lah akan menjadi darah daging kita. Menurut ayat di atas "dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu" ayat ini refers kepada makanan haram. Apabila kita mengikut jejak langkah syaitan, maka kita akan sedikit sebanyak jadi macam mereka. Nauzubillah!
Keruntuhan akhlak ini memberi kesan kepada ekonomi negara, ya! Setiap tahun, anda membayar cukai kepada kerajaan dan duit-duit tersebut sebahagian daripadanya dihabiskan kepada mereka-mereka dalam penjara, sekolah pemulihan, sekolah "khas berbadan dua" dan lain-lain. 
Semoga anak-anak ini menjadi insan yang berguna kelak. Amin

"Agama adalah nasihat" - Hadis riwayat Abu Hurairah

Seandainya kita mengikut Allah swt dan Rasulullah saw, insya Allah masalah-masalah tersebut dapat dikurangkan. Pada pengalaman aku, ada kawan-kawan yang bermasalah seandainya mereka tidak kembali pada Allah dan Rasulullah (Bertenang mengikut cara Islam, sabar dan redha) mereka pasti menyakitkan diri sendiri dengan cara macam-macam. Contohnya, menoreh lengan, mengambil pil stress dan cuba membunuh diri. Sedangkan Allah swt dan Rasulullah saw sangat tekankan konsep redha pada kita.
Itu saja pada malam ini. Doakan kita semua dapat bersedia menjadi khalifah yang baik dan dapat membantu orang lain sedikit sebanyak. 
P/S: Seandainya ada program-program tentang remaja dan perlukan pertolongan boleh minta tolong dengan aku, insya Allah aku akan sudi tolong kerana Allah. 
Wallahualam

Posted in | 5 comments

| Sampah |

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk mengadap laptop dan menulis blog pada hari ini. Apa khbar sahabat-sahabat? Semoga sihat badan, sihat iman. Insya Allah. 

Satu masalah yang kita pandang ringan, iaitu sampah. Hari ini aku bersama kawan-kawan dan lecturers mengadakan program di Bagan Lalang, Sepang. Kami membersih pantai dan merapatkan silaturahim dengan orang kampung. 

Teringat seorang sahabat aku katanya, "Akak tengok ada seorang lelaki. Baik hati, sopan dan rajin. Tapi tengok dia buang sampah tepi jalan, failed!" 

Hmm. Rata-rata, kita selalu fikir "Alaahh, sampah satu je. Apa sangat lah!" Alangkah malang, sekiranya 10,000 orang fikir macam tu dan turut sumbangkan sampah-sampah seorang satu secara "langsungnya" sampah dari satu akan jadi 10,000. Astagfirullah!

Mari kita beristifar dan renung, astagfirullahalazim, astagfirullahalazim, astagfirullahalazim. Hidup kita ni dah berapa banyak sampah kita buang merata-rata? Satu, dua, tiga atau.....? Berapakah? Bukan ke kita pernah berjanji dengan Allah SWT akan jadi khalifah yang baik? Akan jaga bumi Allah ini dengan sebaik-baik iman. Tapi kita khianati janji itu dengan begitu saja? Berapa kalikah kita buat orang-orang yang bersihkan jalan-jalan mengeluh? Kalau kita bersihkan suatu tempat dan ada orang datang mengotorinya sesuka hati, pasti kita akan kata "Aku dah kemas, dah sapu. Sesuka hati dia je datang buang!" Begitu juga dengan mereka, pasti mereka akan mengeluh dan bersedih.

Sebahagian dari sampah | rokok. Nanti kita masuk bahagian kebaikan rokok!


Aku rasa masyarakat kita mungkin gagal mencapai cita-cita kerajaan untuk menjadi sebuah negara membangun selagi masyarakat masih tidak mampu membuang sampah di tempat yang sepatutnya. Kadang-kadang aku tak suka keluar dari rumah. Sebab sampah terlalu banyak, terlalu kotor dan menjijikan. Di tempat aku ada papan tanda, "Jangan buang sampah. Jika tidak, akan didenda." - ayat lebih kurang macam tu lah. Tapi sedih sebab bawah tu juga sampah di buang. Hmm.. Inikah masyarakat bertamadun? Atau kita sudah kembali ke zaman jahiliah moden? 

Renung-renungkan. Tak susah kalau kita buang sampah pada tempatnya. Ingatlah, kebersihan itu sebahagian dari iman kita jua. Wallahualam. Wassalam

Posted in | 0 comments

Sedekah


Assalamualaikum wbt

Apa khabar, sahabat-sahabat? Harap semuanya sihat sejahtera serta dalam rahmatNya. Hari ini rasa nak tulis tentang benda yang dekat dengan kita. Benda yang kecil tapi memberi kesan yang besar dalam hidup kita, terutamanya sebagai seorang Muslim.

Aku ada study subject Islam and Management. Bab tauhid dan beberapa konsep yang diperlukan untuk proses mencapai kejayaan terutama dalam sesebuah syarikat. Satu perkara yang sentiasa ditekankan dalam bab tauhid ialah "Benefit for self and society". Tidak dinafikan, perkara ini bukan penting untuk sesebuah syarikat sahaja tetapi juga masyarakat hari ini.

Islam lebih menekankan konsep Collectivism daripada Individualism, kerana kita hidup bermasyarakat dan bersaudara. Aku akan tekankan bab sedekah dalam posting kali ini.

Sedekah. Aku teringat beberapa pengalaman tentang bab ini. Ketika jadi sukarelawan kutip derma Pakistan, ada orang yang bagi dengan rela hati, ada pula yang tak bagi katanya tak ada duit. Ada pula kata buat apa nak tolong, orang-orang Pakistan jahat! Tapi abaikan saja, teringat kata-kata Ummi, sedekahlah. Duit yang dia dapat nak buat apa tu, itu hal dia dengan Allah. Tanggungjawab kita ialah sedekah.

Papa aku seorang yang banyak kerja tentang kebajikan. Boleh dikatakan 90% hidup beliau banyak membantu orang. Duit banyak dihabiskan untuk membantu orang sampai kadang-kadang duit sendiri tak ada. Keluarga aku biasa-biasa, tak kaya tapi sederhana. Percaya atau tidak, sedekah (dengan cara apa jua. Bukan duit sahaja, membantu orang, mendamaikan di antara dua orang juga sedekah dan lain-lain) akan dibalas dengan sebaik-baik balasan oleh Allah SWT. Antara sedar atau tidak, anda sendiri perlu setiasa fikirkan.

Sultan Saudi Arabia ketika itu memjemput tetamu-tetamu dari beberapa negara untuk menjadi tetamu haji. Ketika itu Papa terpilih menjadi salah seorang tetamu Allah swt. Kami sekeluarga sebak, gembira dengan rezeki yang Allah swt bagi. Bukan setakat itu, ramai sanak saudara yang bantu Papa yang akan berangkat ke sana. Ramai yang hulur sedikit wang untuk dibelanjakan di sana (Maklum lah keluarga aku tak kaya..) sehingga jumlah wang yang sangat banyak diperoleh beliau. Tapi jadi tetamu negara yang kaya dengan minyak itu, hampir tidak perlu keluarkan duit langsung. Semuanya free. Duit-duit tu sebahagian digunakan untuk bayar hutang, untuk anak-anak isteri yang ditinggalkan dan untuk buah tangan buat semua sanak-saudara. Sehingga 70 kg barang-barang yang beliau beli dan beliau akan pastikan semua orang dapat barang tersebut. Alahai ayah ku.. Terlalu rindu pada mu T_T

Tapi membantu orang, pelbagai cabaran akan kita hadapi. Ada-ada saja orang yang tak puas hati, maklumlah manusia ada sifat mazmumah. Jadi kena bersabar..

Seorang lecturer aku (En. Maizudin), selalu pesan, banyak lah membantu orang. Allah akan bantu kita. Ramai orang yang terlibat dalam kemalangan, masalah-masalah besar dan sebagainya. Tetapi, insya Allah dengan membantu orang Allah swt akan permudahkan kita untuk selesaikan segala masalah dan elak daripada ancaman. Aku perasan, dengan cuba menjejak langkah Papa hidup aku lebih gembira. Tak pernah tak dapat makan. Ada-ada saja rezeki yang Allah berikan. Aku dapat sahabat-sahabat yang baik, lecturers yang banyak memahami, seorang lelaki yang sangat baik hati dan keluarga yang menyayangi aku.

Cukup dah hidup aku dengan segala benda ini. Hiduplah bermasyarakat, jangan hidup seorang. Sayangilah saudara seagama kita sebagaimana kita menyayangi diri kita sendiri.

Semoga diberkati sentiasa. Wallahualam.

P/S: Gambar Ubai tu mungkin boleh kait dengan "senyum itu sedekah!". Miss you, my boy!


Posted in | 7 comments